Penyanyi era 80an, Kamal Halim meninggal dunia - Utusan Malaysia

Penyanyi era 80an, Kamal Halim meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komposer dan Vokalis The Brain Connection, Kamal Halim telah menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi hati pada pukul 9.30 malam Khamis lalu di kediamannya di Sik, Kedah.

Berita duka pemergian penyanyi berusia 58 tahun itu disahkan oleh sahabatnya, Manan Ngah, yang juga bekas anggota kumpulan The Brain Connection yang terkenal dengan lagu Aku Dan Kenangan di laman Facebooknya.

“Saya dimaklumkan berita pemergiannya (arwah) tengah malam tadi. Sebagai sahabat sudah tentu pemergiannya amat menyedihkan. Difahamkan, arwah meninggal dunia akibat organ hati tidak berfungsi dengan baik hingga menjejaskan organ dalaman lain.

“Dia adalah anak sepupu saya yang sangat boleh diharap dalam kerja-kerja seni muzik. Semoga diperoleh kesudahan yang baik-baik buat arwah,” tulisnya di Facebook.

Jenazah selamat disempurnakan pada pukul 9.30 malam Jumaat di Tanah Perkuburan Persiaran Raja Sakti, Sik, Kedah.

Terdahulu, Allahyarham Kamal pernah didakwa meninggal dunia pada 2014 namun dia tampil menafikan berita yang tersebar.

Vokalis kumpulan yang terkenal pada tahun 1980-an sempat mencipta dan merakamkan lagu terakhir yang bertajuk Mungkar Nangkir yang akan dilancarkan oleh Al Tamim Entertaintment Sdn Bhd kelak.

Semasa hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan beberapa lagu hits antaranya Suratan nyanyian kumpulan Slam, Mahligaimu Dari Airmataku nyanyian kumpulan Lestari, Persada Cintaku (Spring) dan Di Sudut kamar Hatiku (Datuk Jamal Abdillah).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya