Penternak cadang ibadah korban di ladang - Utusan Malaysia

Penternak cadang ibadah korban di ladang

MOHD. Faidzul Mohamad Noh menunjukkan sebahagian lembu ternakannya di Mambau, Seremban. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penternak di negeri ini memohon supaya kebenaran diberikan kepada mereka untuk melaksanakan penyembelihan ibadah korban di ladang ternakan masing-masing.

Pemilik Medina Farm di Mambau dekat sini, Mohd. Faidzul Mohamad Noh, 39, berkata, penternak lembu sanggup melakukan korban di ladang dengan prosedur operasi standard (SOP) asalkan ternakan mereka yang sudah lama berada di kandang dapat dijual.

Beliau yang mewakili penternak lain berharap cadangannya itu dapat dipertimbangkan mengambil kira situasi semasa jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi.

“Dalam situasi ketika ini memang kita tidak boleh melaksanakan ibadah korban di masjid-masjid dan surau, memang berisiko kerana susah untuk kawal SOP dan kehadiran orang ramai.

“Jadi saya mencadangkan penyembelihan ternakan dilakukan di ladang-ladang penternak dengan hanya dijalankan oleh penternak dan beberapa orang pekerja. Individu atau pihak masjid dan surau yang menjalankan ibadah korban boleh mengambil daging atau karkas di ladang dan kemudian boleh diagihkan kepada penerima masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Mohd. Faidzul, pihaknya mampu untuk menguruskan penyembelihan kira-kira 30 ekor lembu dalam masa empat hari dengan minimum tiga orang individu menguruskan penyembelihan bagi setiap seekor lembu.

Sementara itu kata beliau, sekiranya pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini hanya dibenarkan untuk dilaksanakan di rumah sembelihan berdaftar ia sukar dilaksanakan di negeri ini kerana hanya terdapat sebuah rumah sembelihan sahaja di sini iaitu terletak di Senawang.

“Jika semua penternak bertumpu kepada sebuah rumah sembelihan, masing-masing perlu mengikut giliran, ia akan mengambil masa lama untuk proses penyembelihan.

“Jadi saya berharap pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dapat mengeluarkan lesen sementara kepada penternak untuk melakukan proses penyembelihan ibadah korban di ladang masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, sejak dua tiga hari lalu, pihaknya mula menerima pertanyaan oleh wakil-wakil masjid dan orang perseorangan yang mahu membuat tempahan lembu bagi ibadah korban bulan hadapan.

Dalam pada itu, beliau berharap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) boleh mengeluarkan SOP ibadah korban di negeri ini secepat mungkin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya