Penjawat awam tertipu beli basikal di Instagram - Utusan Malaysia

Penjawat awam tertipu beli basikal di Instagram

AIBEE ABD. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penjawat awam mengalami kerugian RM5,800 ketika cuba membeli sebuah basikal berharga RM550 yang dilihatnya di Instagram pada 15 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani berkata, semasa berada di rumah, mangsa iaitu lelaki berusia 36 tahun itu membuka akaun Instagram, Kedai.Basikal.Kita.88 dan tertarik untuk membuat pembelian.

Menurutnya, mangsa berurusan dengan seorang lelaki dengan nama Visuanathan di talian 011-23264122 untuk membeli sebuah basikal jenama TRS Ratel Thirty.

“Pada hari yang sama, mangsa membuat bayaran secara dalam talian melalui akaun Maybank2U ke atas akaun BSN 020024100024868 dengan nama Visuanathan sebanyak RM550.

“Mangsa diberitahu penghantaran akan dibuat dalam masa dua hari menggunakan kurier pada keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun Aibee berkata, pada 16 Jun, mangsa dihubungi pekerja Visuanathan bernama Encik Razak dan meminta mangsa untuk memberikan maklumat diri serta pembayaran penghantaran sebanyak RM1,250 ke sebuah lagi akaun CIMB Bank 7011915781 dengan nama Mohd. Saufi.

Menurutnya, mangsa kemudiannya melakukan tiga lagi transaksi ke dua akaun yang diberikan Encik Razak untuk tujuan bayaran bungkusan, semakan pihak berkuasa dan proses penghantaran menggunakan lori.

“Setelah membuat semua transaksi berkenaan, mangsa mulai rasa curiga dan menyemak di internet serta mendapati dia telah menjadi mangsa penipuan kedai laman sosial berkenaan.

“Mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Sikamat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu, Aibee menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah tertipu terutamanya pembelian barangan secara atas talian dan boleh membuat semakan terlebih dahulu di melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Katanya, langkah berkenaan adalah bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya