Peniaga capati rugi RM3,750, wang dicuri pekerja - Utusan Malaysia

Peniaga capati rugi RM3,750, wang dicuri pekerja

AHMAD ADNAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang peniaga kerugian RM3,750 selepas wang tersebut lesap dipercayai dicuri pekerjanya di sebuah restoran di Taman Perwira di Langkap, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada pukul 10.30 pagi disedari lelaki berusia 44 tahun itu setelah mendapati wang yang disimpan di dalam laci kaunter telah tiada.

Katanya, lelaki itu kemudian mencari pekerjanya yang merupakan warga Pakistan di kedai namun suspek ‘menghilangkan diri’ selain semua barang peribadi lelaki itu termasuk pakaian juga tiada di dalam bilik.

“Mangsa mengesyaki pekerjanya yang berusia lingkungan 30-an itu mengambil wang dengan cara membuka laci kaunter menggunakan kunci yang diambil di atas almari di belakang kaunter.

“Laci kaunter itu didakwa hanya diuruskan oleh peniaga berkenaan dan seorang pekerja lain,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, mangsa mendakwa wang tersebut adalah wang seminggu berniaga dan dijadikan wang pertukaran di restoran tersebut.

Katanya, siasatan mendapati restoran itu beroperasi sejak setahun lalu dengan mempunyai tiga pekerja warga Pakistan termasuk suspek.

“Suspek yang dipercayai tidak mempunyai dokumen diri yang sah itu telah dua bulan bekerja di restoran mangsa setelah diperkenalkan oleh bapa saudara lelaki itu.

“Usaha mengesan suspek sedang dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya