BANGI: Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini membenarkan reman tiga hari ke atas pengusaha kosmetik dan rakannya yang didakwa membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan kanak-kanak bawah umur.
Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan Hakim Effandi Nazila Abdullah.
Peguam Nursyafiqah Zamani yang mewakili kedua-dua sahabat berkenaan ketika ditemui berkata, anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 12 dan 15 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu semasa gambar mereka dirakam, usahawan kosmetik dan rakannya sempat berseloroh dengan media dengan memberitahu: “Tak baik tau”.
Akhbar sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan berkenaan pemilik akaun Instagram dikenali sebagai ‘safieyillias94’ dan ‘pipinatasha’ yang didakwa membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada seorang pensyarah universiti awam.
Pengadu membuat laporan selepas melihat pautan siaran langsung di laman Instagram milik ‘safieyillias94’ yang juga hos bersama pemilik IG ‘pipinatasha’.
Semakan mendapati individu itu turut berpakaian menjolok mata serta menunjukkan aksi penggunaan vape (rokok elektrik) kepada kanak-kanak berkanaan.