REMBAU: Seorang pengawal keselamatan maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam nahas dengan sebuah treler di Kampung Sungai Layang, Jalan Seremban-Tampin, di sini, pagi ini.
Mangsa, Mohd Razman Mohd Hafas, 46, dipercayai dalam perjalanan dari tempat kerja ke rumahnya di Selemak, di sini.
Ekoran kejadian tersebut, sepasukan anggota bomba dari Bomba dan Penyelamat Rembau ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Arif Ahmad Osasi berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.38 pagi dan tiba di lokasi pada pukul 8.54 pagi.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, mangsa masih berada di tempat duduk pemandu dan tersepit akibat kereta yang dipandunya iaitu jenis Proton Wira melanggar bahagian belakang treler.
“Kami mengeluarkan mangsa pada pukul 9.14 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis dan dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat. – UTUSAN ONLINE