Pengawal keselamatan ditemukan meninggal dunia dalam pondok kawalan - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan ditemukan meninggal dunia dalam pondok kawalan

AMIR CHE DAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pengawal keselamatan ditemukan meninggal dunia di sebuah pondok kawalan di tapak pembinaan perumahan di Taman Intan di sini.

Mayat lelaki berusia 47 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam pondok kawalan itu oleh rakan setugasnya yang tiba untuk proses pertukaran kerja pada pukul 7.51 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis yang menerima maklumat kemudian ke tempat kejadian bersama anggota perubatan Hospital Sultan Abdul Halim dan mendapati pengawal keselamatan terbabit, Amir Che Dan telah meninggal dunia.

“Ketika kejadian mangsa bertugas berseorangan di tapak pembinaan di Taman Intan berikutan tapak itu ditutup sementara ekoran ‘total lockdown’ sejak 1 Jun lalu.

“Rakan setugas mangsa yang tiba di pos itu cuba mengejutkannya tetapi disebabkan tiada tindak balas, dia kemudian menghubungi ketuanya dan pihak hospital memaklumkan kejadian itu,” katanya di sini.

Mangsa yang mempunyai keluarga dan tinggal di Kampung Abas, Sungai Layar di sini bekerja di tapak pembinaan perumahan itu sejak setahun lalu.

Kata Adzli, hasil temu bual pihaknya dengan isteri pengawal keselamatan itu mendapati mangsa sebelum ini sering mengadu sakit kepala dan hanya mengambil ubat di farmasi.

“Selain itu, mangsa kali terakhir menelefon isterinya pada pukul 12 malam dan mereka berbual seperti biasa,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya