Pengambilan graduan perubatan kekal berjalan tetapi ditentukan SPA - Utusan Malaysia

Pengambilan graduan perubatan kekal berjalan tetapi ditentukan SPA

ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan pengambilan doktor graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan malah diteruskan seperti kaedah beberapa tahun lalu. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sejak 1 Disember 2016 sehingga 31 Mei lalu, seramai 23,077 Pegawai Perubatan UD41 dilantik secara kontrak bagi menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib. 

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 789 daripada 2,544 pegawai dari Kohort Lantikan 1 Tahun 2016, Kohort Lantikan 1 Tahun 2017 dan sebahagian Kohort Lantikan 2 Tahun 2017 yang layak diperakukan pelantikan tetap telahpun ditawarkan pelantikan tetap. 

“Sejak Disember 2016, pengambilan graduan perubatan dibuat secara kontrak berikutan kekangan perjawatan tetap dan membolehkan pengambilan dibuat tanpa lagi bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad. Kontrak yang ditawarkan adalah sehingga tiga tahun bagi membolehkan graduan perubatan menjalani latihan siswazah dan kemudiannya disambung untuk tempoh dua tahun lagi untuk membolehkan mereka melengkapkan khidmat wajib. 

“Seperti mana kementerian lain, Kementerian Kesihatan juga tertakluk dengan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam (rightsizing) iaitu pelantikan tetap melebihi perjawatan tetap keseluruhan sedia ada tidak dibenarkan dan boleh mengundang teguran audit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pandangan Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia supaya kerajaan meneliti semula pengambilan dan penempatan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di Kementerian Kesihatan.

Mengulas lanjut, Adham berkata, pengambilan graduan perubatan terus dilaksanakan bagi graduan yang diluluskan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pendedahan pengalaman bekerja seperti mana obligasi yang ditetapkan oleh Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Katanya, mengenai pelantikan secara tetap, ia ditawarkan kepada pegawai yang melepasi kriteria pelantikan tetap yang telah digariskan menerusi surat pekeliling yang ditetapkan manakala dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan tetap dari semasa ke semasa selaras dengan peraturan berkaitan perjawatan dan kewangan yang berkuat kuasa. 

“Bagi memastikan penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama, proses penilaian semasa latihan siswazah dibuat pada setiap penempatan dan kriteria penilaian pelantikan tetap juga dimaklumkan kepada setiap pegawai. 

“Selain itu, Kementerian Kesihatan juga telah menubuhkan tiga peringkat Jawatankuasa Penilaian iaitu Jawatankuasa Teknikal Pelantikan Tetap di peringkat Program Perubatan, Jawatankuasa Pemilihan Pelantikan Tetap yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) dan perakuan pelantikan tetap kepada Pengurusan Tertinggi Kementerian iaitu Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Setiausaha Kementerian bagi memelihara ketelusan dan integriti dalam proses memperakukan pelantikan secara tetap,” katanya. 

Beliau menegaskan bahawa perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak diberikan oleh Kementerian Kesihatan sahaja kerana peluang pekerjaan juga terdapat di hospital bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertahanan dan dalam sektor swasta..

“Justeru, penyertaan sebahagian daripada graduan perubatan yang telah melengkapkan latihan siswazah dan khidmat wajib ke hospital universiti awam dan sektor swasta juga boleh menyumbang kepada kemajuan perkhidmatan kesihatan di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN