Pengamal media di Perlis terima vaksin - Utusan Malaysia

Pengamal media di Perlis terima vaksin

PENGAMAL media Perlis menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Dewan Wawasan 2020, Kangar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 13 pengamal media di negeri ini menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini sekali gus menyahut seruan kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ( PICK) itu.

Rata-rata pengamal media di negeri ini menyambut baik pemberian vaksin yang secara tidak langsung dapat mencegah risiko jangkitan kerana golongan media juga antara yang terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19.

Turut hadir memberi sokongan kepada pengamal media negeri ini adalah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd Yusof.

Timbalan Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Mohd. Hafiz Abd. Mutalib memberitahu, pengambilan vaksin penting terutamanya dalam kalangan pengamal media yang sering terdedah dengan risiko jangkitan apabila keluar menjalankan tugasan.

Katanya, ia juga sejajar dengan seruan kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok iaitu 80 peratus penduduk di negeri ini mengambil vaksin menjelang hujung tahun ini.

“Sebahagian besar petugas media telah menerima suntikan dos pertama hari ini iaitu terdiri dalam kalangan wartawan, jurufoto dan jurukamera pelbagai agensi.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan membantu mempercepatkan proses imunisasi kepada petugas media di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Seorang wartawan Guang Ming Daily, Kang Chiew Thye berkata, dia selesai menerima dos kedua vaksin Covid-19 hari ini dan berasa cukup lega kerana sekurangnya-kurangnya risiko jangkitan tersebut berkurangan.

Katanya, dia tidak merasa sakit atau berdepan dengan apa-apa kesan sampingan teruk selepas menerima suntikan tersebut.

“Saya juga ingin menyeru kepada orang ramai agar terus mendaftar bagi menerima suntikan vaksin tersebut agar kita dapat segera mencapai imuniti kelompok 80 peratus itu,” katanya.

Sementara itu, Azman memberitahu, seramai 27,379 orang atau 15 peratus selesai menerima suntikan vaksin dos pertama sehingga semalam.

Katanya, manakala yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin pula adalah sebanyak 33,557 atau 18 peratus.

“Secara keseluruhan 60,956 orang telah menerima suntikan vaksin di negeri ini dengan jumlah pendaftaran pula sehingga semalam adalah sebanyak 125,992 merangkumi 69.53 peratus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya