PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dijadual menyampaikan ucapan aluan secara maya dalam majlis perasmian 6th International Islamic Finance Forum (IIFF) yang akan berlangsung esok dan lusa di King Fahd Palace, Dakar, Senegal.
Pejabat Menteri itu dalam kenyataan berkata, forum berprestij bertemakan ‘West Africa – Malaysia: Building The Islamic Economy itu memberi fokus penglibatan Afrika Barat – Malaysia dalam kewangan Islam, wakaf, haji, industri halal dan produk serta perkhidmatan kewangan Islam.
Ia dianjurkan The African Institute of Islamic Finance (AIIF) dengan sokongan Kerajaan Senegal dan Islamic Development Bank (ISDB) melibatkan kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Dakar, Senegal dengan usahasama ISDB Center of Excellence of Kuala Lumpur Malaysia and Islamic Research and Training Institute (IRTI).
“IFF pada kali ini bakal menyediakan platform bagi negara-negara Afrika Barat meneliti pengalaman Malaysia dalam kewangan Islam seterusnya menghubungkan jaringan kepakaran memartabatkan kewangan Islam dalam ekonomi global,” katanya hari ini.
Zulkifli dalam ucapan aluan akan mengangkat beberapa noktah penting pengalaman Kerajaan Persekutuan melalui lima fokus utama iaitu Industri Halal (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Pengurusan Haji (Tabung Haji), Institusi Zakat (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), Ar-Rahnu (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) dan Pengurusan Wakaf (Yayasan Waqaf Malaysia).
Dengan penyertaan lebih 500 orang peserta dalam forum dwi-tahunan itu, IIFF dilihat sebagai salah satu medium terbaik bagi pakar kewangan Islam, penyelidik dan pemain industri bagi bertukar fikiran dan meluaskan jaringan kerjasama antara negara khususnya negara-negara Afrika Barat dan Malaysia mengukuhkan peranan kewangan Islam dalam mendepani ekonomi global.