SEREMBAN: Tidur malam penduduk di Rumah Pangsa Senawang, Fasa 2, Taman Sri Mawar, Senawang dekat sini tidak lena, selepas berlakunya kejadian beberapa buah kereta milik penduduk disembur cat oleh pihak tidak bertanggungjawab beberapa hari lalu.
Seorang penduduk, Rahmat Mohamad Jonid, 54, berkata, dia hanya menyedari kejadian tersebut ketika sedang memanaskan enjin bas miliknya pada pukul 6.30 pagi, Selasa lalu.
Katanya, pada awalnya dia menyangka kejadian itu angkara pengutip wang ‘ah long’ tetapi selepas terlihat beberapa kereta lain turut disembur cat berwarna kelabu, dia terus memaklumkan perkara itu kepada penduduk lain.
“Kalau sebuah kereta sahaja yang kena mungkin pemilik ada masalah dengan sesiapa tapi kejadian ini lebih daripada sebuah kereta. Kejadian khianat seperti ini buat kami resah dan bimbang kejadian sama akan berulang lagi,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, sepanjang 30 tahun tinggal di situ, ia merupakan kejadian yang pertama berlaku.
“Selepas kejadian itu, boleh dikatakan setiap malam saya akan memantau tempat kejadian sebab bimbang akan berulang semula. Saya pun tidak tahu nak syak siapa sebab kita tidak nampak siapa pelakunya,” katanya.
Seorang penduduk, Sufizan Azmi, 31, pula mendakwa pernah mengalami kejadian sama tiga tahun lalu.
“Tidak dinafikan selepas kejadian kereta disembur cat saya sakit hati. Tidak lama selepas itu penduduk dapat menangkap pelaku yang merupakan kanak-kanak nakal,” jelasnya.