Kira-kira 5,000 penduduk bimbang ancaman hakisan tanah

5,000 penduduk Taman Scientex bimbang ancaman hakisan tanah

PENDUDUK menunjukkan hakisan tanah yang berlaku di belakang kediaman mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: KIRA-KIRA 5,000 penduduk di Taman Scientex, di sini meluahkan kebimbangan mereka dengan ancaman hakisan tanah yang berlaku di bahagian belakang kediaman tersebut.

Seorang penduduk, Mohd. Zulfazli Mohd. Jalil, 34, berkata, hakisan tanah itu mula berlaku selepas musim hujan hujung tahun lalu dengan kawasan paling terjejas adalah di Jalan Kedidi 31 dan Jalan Kedidi 1.

Menurutnya, penduduk berasa bimbang hakisan tanah itu akan menjadi lebih serius sekaligus mengancam keselamatan penduduk setempat.

“Melihat kepada keadaan ketika ini, lebih kurang enam buah rumah mempunyai potensi untuk runtuh sekiranya hujan lebat berterusan. Ini kerana bahagian belakang rumah itu adalah tebing yang curam dan terhakis serta berada dalam keadaan bahaya khususnya di Jalan Kedidi 31.

“Keretakan yang berlaku bukan sahaja di dalam rumah tetapi juga di belakang rumah di mana bahagian yang dikonkrit sudah pecah akibat tanah mendap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zulfazli, seorang penduduk di Jalan Kedidi 31 juga terpaksa menyewa rumah lain kerana bahagian belakang rumahnya sudah mendap dan berlubang.

“Selain itu, dinding rumah tersebut juga retak manakala paip juga pecah akibat tanah runtuh yang berlaku,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Shahrizam Zakaria, 32, pula berkata, masalah berkenaan sudah diajukan kepada pemaju perumahan itu namun tiada tindakan jangka masa panjang yang dilakukan mereka.

“Mereka hanya memasang kanvas untuk menutup bahagian tanah runtuh namun selepas itu tidak berbuat apa-apa lagi walaupun sudah banyak kali aduan dibuat penduduk.

“Lebih teruk kanvas yang dipasang mereka juga sudah reput, koyak dan tanah di kawasan terbabit terus terhakis,” ujarnya.

Shahrizam yang merupakan seorang guru itu turut menambah, pemaju bukan sahaja memberikan pelbagai alasan tetapi juga berdolak-dalih dan melambat-lambatkan tindakan supaya tempoh jaminan rumah di kawasan itu tamat.

“Apabila tempoh jaminan dua tahun tamat mereka tidak perlu berbuat apa-apa kerana selepas itu mereka boleh menyerahkan kesalahan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk lepas tangan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Iskandar Nadirin, 34, memberitahu dia berasa kesal kerana pemaju sering mengelak untuk bertemu penduduk dalam mencari penyelesaian berhubung masalah hakisan tanah yang berlaku.

“Sekarang ini mereka gunakan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tidak hadir ke lokasi tanah runtuh sedangkan masalah ini melibatkan keselamatan penduduk,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya