PETALING JAYA: Pendirian UMNO yang mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah supaya memanggil sidang Parlimen adalah bagi meraikan demokrasi terutama dalam isu kepentingan rakyat dan negara.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, pendirian itu selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu agar Parlimen kembali bersidang bagi meraikan demokrasi.
“Saya amat bersetuju UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari demi kepentingan demokrasi negara.
“UMNO sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pagi ini menyatakan sokonganpenuh terhadap kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang. – UTUSAN ONLINE