TAIPING: Pendaratan ikan di seluruh negara berkurangan sebanyak 10 peratus berikutan kurangnya aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan laut dalam disebabkan ketiadaan pekerja asing yang menjadi tekong dan awak-awak untuk bot kelas C.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pengusaha bot laut dalam tidak keluar menangkap ikan disebabkan ketiadaan tekong dan awak-awak yang terdiri dari warga asing seperti dari negara Thailand dan Vietnam yang tidak dibenarkan memasuki negara ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Rakyat tempatan belum mampu untuk menggalas tugas atau pekerjaan menjadi tekong dan awak-awak untuk aktiviti penangkapan ikan laut dalam atas berbagai faktor seperti dari segi kelasakan dan masa yang lama untuk berada di laut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan ikan sejuk beku sebanyak 1.5 tan kepada petugas barisan hadapan di Taman Berkat untuk diagihkan kepada 1,218 penduduk yang dikuarantin di sini hari ini.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah ketiadaan pekerja asing, LKIM telah mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan telah mendapat kelulusan untuk membawa masuk pekerja Thailand dan Vietnam.
“Namun disebabkan negara sedang melaksanakan PKP, jadi tiada sebarang kemasukan warga asing dapat dibuat pada masa ini,” katanya.
Menurutnya, LKIM juga telah membuat rayuan kepada Jabatan Imigresen agar mempertimbangkan kemasukan pekerja warga asing melalui mana-mana pintu sempadan negara.
Katanya, difahamkan permohonan itu sedang dipertimbangkan namun negara penghantar perlu melalui proses dokumentasi atau permohonan khas Malaysia Travel Pass (MTP) sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.
Menurutnya, setelah proses dokumentasi atau permohonan MTP selesai dibuat, LKIM akan membantu untuk mengetengahkan permohonan kepada Jabatan Imigresen bagi membolehkan mereka masuk melalui mana-mana pintu sempadan.
“Namun pekerja warga asing ini tetap perlu melalui proses saringan ujian Covid-19 dan akan dikuarantin di pusat kuarantin yang akan ditentukan oleh pihak berkaitan pada masa itu manakala kos kuarantin ditanggung pihak syarikat atau negara pengeluarnya,” katanya.
Menurutnya, walaupun aktiviti penangkapan ikan laut dalam berkurangan, namun aktiviti nelayan pantai bertambah pada masa ini.
“Sekiranya masalah kekurangan bekalan ikan ini meruncing, LKIM juga mengambil langkah proaktif dengan membenarkan syarikat-syarikat luar yang mempunyai simpanan atau bekalan ikan sejuk beku untuk dibawa masuk ke negara ini bagi menampung keperluan harian,” katanya. – UTUSAN