KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Eva, Linda, 44, berkata, gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerjayanya sebagai penyanyi malap begitu sahaja.
Apatah lagi dengan pelaksanaan PKP penuh membuatkan dirinya tersepit. Namun dia bersyukur kerana suaminya, Mohd Fairuz Ibrahim, 34, masih bekerja sebagai pembantu peguam.
“Sebelum ini memang sepenuhnya mencari rezeki dalam bidang nyanyian. Ketika PKP pertama dulu boleh berniaga dengan menjual makanan daging dendeng yang dimasak sendiri selepas itu buat servis penghantaran. Masa itu Alhamdulillah, pendapatan dapatlah tampung.
“PKP yang sekarang ini pula, sudah tak macam dulu. Mungkin pembeli pun sudah pandai berjimat-cermat, masak sendiri. Jadinya, pendapatan saya memang terhenti. Sekarang ini saya bergantung pada suami dengan membantu dia buat kerja-kerja yang saya boleh buat,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Linda yang juga merupakan ibu kepada bekas vokalis Putera Band, Muhamad Haziq Hasbullah, 22, turut memaklumkan anaknya tidak terlepas daripada kesan PKP.
“Bukan saya saja yang senasib orang ramai yang pendapatan mereka terjejas, tetapi anak saya juga penyanyi. Sudah hampir setahun tiada tawaran menyanyi atau kerja-kerja lain,” tambahnya lagi.