Pendapatan pemandu teksi terjejas lebih 80 peratus - Utusan Malaysia

Pendapatan pemandu teksi terjejas lebih 80 peratus

MOHAMAD Farid Abdul Razak (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada pemandu teksi sambi disaksikan Abdul Rahman Arif (dua kanan) di Hentian Teksi Pusat Bandar Pasir Gudang, di Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pemandu teksi di negeri ini memohon Kerajaan Negeri Johor mempertimbang memberikan bantuan kepada golongan itu ekoran lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Yang Dipertua Persatuan Teksi Pasir Gudang, Abdul Rahman Arif berkata, permintaan itu wajar kerana majoriti daripada mereka kehilangan pendapatan lebih daripada 80 peratus sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, kesukaran itu menyebabkan ramai pemandu teksi ‘menggantung kunci’ dan mencari alternatif lain untuk menyara keluarga.

“Pemandu teksi di sini berdepan pelbagai masalah, lima atau enam teksi sudah kena tarik dan ada yang tidak mampu membayar sewa bulanan. 

“Selain lebih 10 pemandu teksi sudah berhenti dan menjadi pengawal keselamatan, mujur mereka masih dapat mencari pekerjaan dalam tempoh ini.

“Oleh itu kita memohon bantuan ‘one-off’ daripada kerajaan pusat dan negeri seperti diterima pemandu van sekolah dan bas persiaran,” katanya kepada pemberita selepas menerima bantuan keperluan asas sumbangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Gudang di Hentian Teksi Pusat Bandar Pasir Gudang, di sini hari ini.

Penyerahan sumbangan itu dilakukan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak.

Abdul Rahman berkata, pihaknya juga berharap moratorium kepada pemandu teksi dapat diberikan untuk tempoh enam bulan sehingga hujung tahun ini. 

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Md. Ali Hassan, 66, mengaku bahawa dia tidak dapat membayar sewa teksi pada bulan ini kerana pendapatannya merosot teruk akibat ketiadaan penumpang.

Bapa kepada lapan anak itu berkata, sejak PKP 3.0 dia hanya memperoleh sehingga RM10 sehari kerana kekurangan penumpang, namun kadang-kala satu sen pun tidak dicapainya kerana tiada penumpang langsung.

Muhamad Noh Yap Abdullah, 64, pula memberitahu, kadang kala pendapatan diperoleh tidak setimpal dengan kos yang terpaksa dikeluarkan.

“Saya pernah meminta kerja sebagai pengawal keselamatan tetapi tidak diterima kerana umur sudah lanjut, mereka mahu individu yang berusia 60 tahun ke bawah sahaja,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya