PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan permohonan penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan kepada 9,000 usahawan terjejas.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mara juga akan melanjutkan pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan Mara bagi tempoh lima bulan lagi iaitu sehingga Disember 2021.
“Lebih 5,700 penyewa dijangka memperoleh manfaat daripada inisiatif ini.
“Saya menyarankan agar lebih banyak badan berkanun, syarikat GLC dan PBT turut memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pemilik-pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus kepada peniaga dalam tempoh sehingga 31 Disember 2021 layak mendapat potongan khas cukai,” katanya.