Pemimpin DAP tiba di Istana Negara - Utusan Malaysia

Pemimpin DAP tiba di Istana Negara

KENDERAAN yang membawa Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim tiba di pintu masuk Istana Negara. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah kereta membawa pemimpin DAP tiba di pintu masuk Istana Negara di sini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Kenderaan jenis Toyota Vellfire warna putih bernombor pendaftaran VDP 6886 itu dikenal pasti membawa pemimpin DAP apabila Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang kelihatan apabila pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu membuka cermin.

Beliau tiba di pekarangan Pintu 2 Istana Negara dipercayai mengiringi Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng, walaupun sosok tubuh bekas Menteri Kewangan itu tidak kelihatan kerana dilindungi cermin gelap.

Pagi tadi, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam hantaran Facebooknya mengesahkan Ahli Parlimen Bagan menerima undangan daripada Seri Paduka untuk hadir ke Istana Negara hari ini.

Guan Eng merupakan antara pemimpin politik hadir dalam siri pertemuan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pemimpin pertama bertemu Seri Paduka pada pukul 7.49 pagi.

Ia disusuli kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba pada pukul 10.36 pagi. Masing-masing diberi masa hampir sejam menghadap Seri Paduka bagi membincangkan hal-hal berkaitan perkembangan negara dan politik semasa.

Pemimpin parti-parti politik dilapor dijemput ke Istana Negara bermula hari ini bagi menghadap Seri Paduka membincangkan hal berkaitan kepemimpinan kerajaan dan politik semasa.

Dijemput hadir sama hari ini adalah Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anwar dan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara itu, pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dijemput menghadap Seri Paduka pada esok (10 Jun). Masing-masing dijadual bertemu Yang di-Pertuan Agong pada pukul 2.30 dan 3.30 petang.

Pemimpin UMNO pula dikatakan menjadi parti terakhir dipanggil pada Jumaat ini (11 Jun).

Bagaimanapun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) tidak dimaklumkan tarikh jemputannya selepas mendapat jemputan pada 4 Jun lalu.

Sebelum ini, tular berita mengenai jemputan daripada Istana Negara kepada pemimpin-pemimpin politik untuk menghadap Seri Paduka. Siri pertemuan itu dilapor berlangsung bermula hari ini sehingga 11 Jun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya