KAJANG: Seorang pemilik syarikat ukiran kayu didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) milik orang lain, minggu lalu.
Surat itu bagi membolehkan syarikatnya beroperasi ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan denda itu terhadap Intan Zarina Md. Sappery, 49, selepas wanita itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.
Mahkamah juga turut memerintahkan, OKS dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar jumlah denda yang kemudian dijelaskan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah mengingatkan Intan Zarina bahawa kesalahan yang dilakukan itu adalah serius kerana laporan menunjukkan kluster tempat kerja merupakan penyumbang kepada kes positif Covid – 19.
Sehubungan itu, Muhammad Noor Firdaus berkata, hukuman yang dijatuhkan harus mencerminkan pandangan mahkamah terhada keseriusan kes.
Mengikut pertuduhan, Intan Zarina didakwa menggunakan surat kebenaran beroperasi oleh MITI yang mana surat itu bukan milik premisnya ketika pemeriksaan dibuat oleh pegawai penguat kuasa.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong di sini pukul 10.40 pagi pada 9 Jun lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam prosiding itu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan atas alasan tiada pendapatan pada musim pandemik yang berlaku kini.
“Saya akan mohon surat MITI baharu kerana surat MITI sebelum ini atas nama abang saya,” katanya.
Bagaimanapum Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon mahkamah mengenakan
hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya kesalahan tidak berulang. – UTUSAN ONLINE