DOHA: Pelari Qatar, Abdalelah Haroun yang memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Dunia 2017 meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, hari ini, menurut Persekutuan Olahraga Qatar.
“Haroun meninggal dunia dalam kemalangan kereta di Doha.
“Dia berada dalam program pemulihan selepas pulih dari kecederaan (sebagai persediaan) untuk kelayakan ke Olimpik Tokyo. Sukan dan olahraga Qatar di peringkat global, kehilangan wira yang hebat,” kata setiausaha agung persekutuan itu, Mohammed Issa al-Fadala kepada AFP.
Jawatankuasa Olimpik Qatar turut berkabung atas kehilangan atlet berusia 24 tahun itu.
“Pasukan pecut #Qatar dan pemenang pingat gangsa 400m dunia, Abdalelah Haroun meninggal dunia hari ini,” kata kenyataan mereka di laman Twitter bersama gambar hitam putih atlet itu yang memegang sejambak bunga dan bendera Qatar.
Haroun memenangi gangsa peringkat dunia dengan catatan masa 44.48 saat di belakang pemenang dari Afrika Selatan, Wayde van Niekerk dan wakil Bahamas, Steven Gardiner. – AFP