Pemandu peribadi mengaku tidak bersalah cederakan anak sendiri - Utusan Malaysia

Pemandu peribadi mengaku tidak bersalah cederakan anak sendiri

MUHAMMAD Rizal Abdul Malek (kiri) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemandu peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya sehingga mendatangkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya berusia 11 tahun, Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Rizal Abdul Malek, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang cahaya mata itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak perempuannya yang berusia 11 tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di Pangsapuri Cendana, Jalan Metafasa U10/3, Taman Bukit Subang, dekat sini pada pukul 7.05 malam, 26 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela, Shalehhuddin Salam memohon jaminan lebih rendah iaitu RM5,000 memandangkan tertuduh perlu menyara empat orang anak dan ibunya.

Tertuduh kini tinggal sendirian di rumahnya manakala empat orang anak dan isterinya menetap di rumah adik iparnya di Taman Medan, Petaling Jaya.

Shalehhuddin turut memberitahu mahkamah bahawa pasangan suami isteri itu akan menjalani prosiding perceraian di mahkamah syariah pada 28 Jun ini dan mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak Mei lalu, iaitu sebelum kejadian itu berlaku.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan syarat tambahan iaitu tertuduh diingatkan untuk tidak mengganggu-gugat mangsa sehingga kes itu selesai dibicarakan.

“Kesalahan dalam pertuduhan ini serius, kita mementingkan untuk menjaga mangsa. Jadi, jangan jumpa mangsa,” katanya.

Tertuduh dilihat beberapa kali mengesat air mata dan dalam suara sebak menjawab dia faham dan tidak akan mengganggu anaknya.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 11 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya