LUMUT: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik berhampiran simpang Kampung Sitiawan di Jalan Ipoh-Lumut, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, S. Elangeswaran, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati lori itu dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Lumut tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Punca kemalangan adalah terbabas sendiri dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, sebaik sahaja sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan tiba di lokasi kejadian mendapati, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebuah lori tiga tan metrik tanpa muatan.
Jelasnya, pasukan diketuai Ketua Operasi Razlan Dimyati kemudian menggunakan kelengkapan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit.
Menurutnya, pasukan perubatan mengesahkannya mangsa meninggal dunia dan diserahkan kepads polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11.50 malam. – UTUSAN ONLINE