Pelbagaikan simpanan bekalan dos vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Pelbagaikan simpanan bekalan dos vaksin Covid-19

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Strategi dan pendekatan tertentu perlu dilakukan bagi mempelbagaikan simpanan bekalan dos vaksin Covid-19 sekali gus membantu mempercepatkan proses vaksinasi negara.

Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, secara umumnya, negara-negara Asia Tenggara telah bertindak demikian dengan tidak terlalu bergantung kepada hanya satu sumber vaksin.

Katanya, pada masa ini, semua negara rantau Asia Tenggara kecuali Vietnam membeli atau sekurang-kurangnya telah memiliki sejumlah besar vaksin Covid-19 yang disumbangkan oleh China.

Dalam masa sama katanya, negara-negara terbabit turut menyeimbangkan pemilikan dos vaksin dengan memperoleh dari negara Barat selain menerusi penyertaan dalam program COVAX iaitu salah satu insiatif antarabangsa yang menyokong usaha pemilikan dan pengedaran vaksin ke seluruh dunia.

“Antaranya Indonesia, walaupun telah membeli sebanyak 125 juta vaksin Sinovac dari China sekali gus menjadikannya sebuah negara pengimport terbesar vaksin dari negara tersebut, namun mereka tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada China bagi memenuhi bekalan simpanan vaksin mereka.

“Sebaliknya, Sinovac hanyalah satu pertiga daripada portfolio vaksin dimiliki oleh negara tersebut dan pada ketika ini mereka sedang meneliti beberapa jenis vaksin lain seperti AstraZeneca, Novavax dan Pfizer untuk memenuhi keperluan bekalan vaksin yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kamarul Azman, tindakan untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada bekalan vaksin dari China turut dilakukan beberapa buah negara lain seperti Filipina.

“Secara umumnya, kebanyakan negara-negara Asia Tenggara, kecuali Kemboja, hanya menjadikan China sebagai antara negara penyumbang utama sumber bekalan vaksin bagi rantau ini.

“Kemboja pula sebaliknya dengan bergantung penuh kepada China untuk sumber bekalan vaksin Covid-19 selain daripada apa yang diperoleh menerusi inisiatif COVAX,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Azman berkata, proses penghantaran bekalan vaksin oleh pengeluar dari Barat ke Asia Tenggara pada separuh pertama tahun ini dikatakan agak terganggu apabila negara kuasa besar dunia khususnya Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara kesatuan Eropah mengenakan sedikit peraturan larangan terhadap pengeksportan vaksin ke negara-negara membangun termasuk Asia Tenggara.

“Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen sebagai contoh, telah menyarankan supaya pengedaran vaksin jenis AstraZeneca diberi keutamaan di negara-negara Eropah terlebih dahulu.

“Di AS pula, kerajaannya telah menggunakan ‘Defence Production Act’ yang mewajibkan semua firma farmaseutikal di negara tersebut untuk memenuhi keperluan pasaran dalam negara terlebih dahulu sebelum mengeksportnya ke luar negara. Pada masa yang sama turut menghalang pengeksportan bahan-bahan mentah untuk pembuatan vaksin Covid-19 sehingga kira-kira enam minggu yang lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya