LANGKAWI: Sekumpulan pelarian etnik Rohingya yang berada di Indonesia dipercayai menunggu masa yang sesuai untuk memasuki negara ini dalam tempoh terdekat.
Pelarian terbabit akan diseludup ke negara ini oleh anggota sindiket terbabit dalam bilangan yang kecil antara dua hingga tiga orang secara berperingkat menggunakan bot.
Anggota sindiket berkenaan dipercayai membabitkan rangkaian antara Myanmar, Indonesia dan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, hasil risikan mendapati sindiket membawa pelarian Rohingnya tersebut ke Indonesia sebelum masuk ke Malaysia menerusi perairan negara.
Menurutnya, anggota sindiket di negara ini pula menunggu pelarian terbabit di lokasi tertentu di seluruh negara.
“Kita tahu sindiket ini cuba bawa mereka (pelarian Rohingya) ke negara ini. Kita juga tahu mereka berada di Indonesia.
“Sebelum ini, pelarian etnik Rohingya menggunakan bot besar, namun mudah dikesan pihak berkuasa di pengairan negara ini dan kita telah menghalau mereka keluar dari perairan negara,” katanya ketika ditemui selepas program lawatan pemantauan dan pemeriksaan di sini, hari ini.
Yang hadir sama Menteri dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Bagaimanapun, Hamzah menambah, pihak berkuasa di perairan negara termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) serta National Task Force bersedia mengawal perairan negara daripada diceroboh pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk etnik Rohingya.
“Dianggarkan seramai 100,000 pelarian etnik itu yang telah dihalau keluar dari memasuki perairan ini sehingga kini,” ujarnya.
Selain itu, Hamzah berkata, pihaknya turut menerima maklumat tentang penglibatan nelayan tempatan dengan sindiket penyeludupan barang terlarang seperti dadah serta PATI.
“Kita dapat maklumat mereka bekerjasama dengan sindiket dengan membawa masuk PATI menggunakan bot nelayan di tengah laut,” katanya.
Beliau menambah, tindakan tegas akan diambil ke atas nelayan-nelayan ditahan melakukan aktiviti penyeludupan tersebut. – UTUSAN ONLINE