KANGAR: Penguatkuasaan ketat pihak berkuasa menyebabkan pelarian etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh sudah tidak lagi berani memasuki negara ini.
Malah etnik Rohingya yang ditahan sebelum ini turut ditempatkan di depot tahanan Jabatan Imigresen sekali gus menyaksikan mereka tidak boleh bergerak bebas di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil risikan mendapati, maklumat mengenai mereka yang ditahan di negara ini sampai ke Cox’s Bazar menyebabkan sudah tidak ada cubaan untuk memasuki Malaysia.
Katanya, kehadiran bot-bot yang membawa pelarian Rohingya memasuki perairan negara juga sudah tidak ada sejak Ogos tahun lalu.
“Apabila ditahan di depot Jabatan Imigresen, kita dapati mesej bahawa mereka (Rohingya) ditahan sampai pada rakan-rakan mereka di Cox’s Bazar. Dalam tempoh ini, kita dapati sudah tidak ada lagi cubaan untuk datang menggunakan bot ke negara ini.
“Kita tidak lagi buat seperti dahulu iaitu mereka dibebaskan dan membentuk komuniti mereka di sini. Siapa yang datang mereka akan ditahan,” katanya ketika ditemui pada program pemindahan etnik Rohingya dari Kem Wawasan Negara Langkawi ke depot Imigresen sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang dan depot Imigresen sementara Bidor, Perak di Terminal Feri Kuala Perlis sini hari ini.
Sementara itu, Khairul Dzaimee memberitahu, seramai 517 tahanan Rohingya dari Kem Wawasan Negara, Langkawi itu terlibat dalam operasi pemindahan tersebut.
Katanya, mereka terdiri daripada 121 lelaki; 102 wanita; 147 kanak-kanak perempuan dan 147 kanak-kanak lelaki.
Katanya, pelarian yang memasuki negara ini menggunakan bot pada April, Jun, Julai dan Ogos tahun lalu pula ditahan di pusat latihan milik Kementerian Belia dan Sukan.
“Jumlah asal adalah seramai 521 orang tetapi hasil siasatan mendapati terdapat tujuh warga Bangladesh yang menyamar sebagai etnik ini dan diusir ke negara asal pada hujung tahun lalu.
“Pelarian ini dipindahkan kerana urusan logistik, kerana pada dua bulan pertama mereka ditempatkan di Kem Wawasan, perbelanjaan makan dan minum ditanggung Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
“Namun selepas itu, ditanggung oleh Jabatan Imigresen dan kontrak bekalan makanan berakhir pada bulan ini. Jadi untuk tujuan penjimatan, mereka ini dipindahkan ke kem sedia ada,” katanya.
Tambahnya, sebelum dipindahkan, kesemua tahanan tersebut menjalani ujian calitan Covid-19 dan keputusan ujian berkenaan adalah negatif.