Pelanjutan pengecualian bayaran lesen pengusaha, pemandu pelancong  - Utusan Malaysia

Pelanjutan pengecualian bayaran lesen pengusaha, pemandu pelancong 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyediakan beberapa inisiatif pelanjutan pengecualian pembayaran lesen bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482). 

MOTAC dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut terdiri daripada pelanjutan pengecualian yuran pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula dari 1 Julai lalu sehingga 31 Disember depan. 

Kenyataan itu berkata, inisiatif tersebut turut melibatkan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang belum mendapat kelulusan pembaharuan lesen disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Katanya,  pengecualian bayaran pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang telah mendapat keputusan pembaharuan lesen namun tidak dapat membuat  bayaran lesen disebabkan oleh PKP juga dilaksanakan. 

Melalui pelaksanaan pelanjutan inisiatif itu, MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang layak mengambil peluang itu untuk membuat permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan pengecualian tersebut dapat dinikmati. 

“MOTAC sentiasa prihatin dengan senario cabaran besar dan berterusan yang masih dihadapi oleh penggiat industri pelancongan susulan impak pandemik Covid-19,” katanya di sini hari ini. 

Dalam masa sama, katanya,  kementerian turut menyeru semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang terlibat untuk membuat pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pematuhan kepada perundangan sedia ada. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN