PETALING JAYA: Strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan hari ini merangkumi empat fasa dan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
“Indikator pertama adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian manakala indikator kedua adalah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi.
“Indikator ketiganya adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, “katanya dalam perutusan khas berhubung situasi semasa Covid-19 hari ini.
Jelasnya, pendekatan secara berperingkat itu bermula dengan fasa pertama iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan dalam keadaan bilangan kes Covid-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.
Menurut beliau, Pelan Pemulihan Negara adalah satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19.
Beliau berkata, pelan itu dirangka selepas mendapati keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh sejak 1 Jun lalu menyebabkan negara kehilangan RM1 bilion setiap hari.
Sebab itu, katanya, pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion berharap bantuan itu dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan.
“Namun, kita tidak boleh berterusan begini. Demi kesihatan dan kelangsungan hidup kita semua, kita perlu segera keluar daripada krisis ini.
“Kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup saudara dan saudari sekalian,” katanya.
Muhyiddin berkata, pelan itu mengambil kira ancaman Covid-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital.
“Pelan ini adalah satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy.
“Di samping itu, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kita lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” katanya.– UTUSAN ONLINE