SEPANG: Seorang pekerja taska sebuah hospital dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang di sini, hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak, 8 Jun lalu.Tertuduh, Nur Fatin Nabila Azmi, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Noor Hisham Ahmad Jaafar.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang diberi tanggungjawab penjagaan didakwa menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik tidur kanak-kanak itu di sebuah taska beralamat di aras bawah, Blok C, Kediaman Kakitangan Hospital Serdang, Kajang kira-kira pukul 10.30 pagi pada 8 Jun lalu.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut berdepan hukuman tambahan iaitu menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik dalam suatu tempoh dan syarat tertentu selain melaksanakan khidmat masyarakat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Ali Raman dan tertuduh diwakili peguam, Mohammad Naim Mahmud.
Kes disebut semula pada 26 Julai ini. – UTUSAN ONLINE