KOTA BHARU: Seorang pekebun sayur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 11 butir peluru secara haram di rumahnya di Pasir Puteh, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Faeez Awang, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sepucuk pistol semi auto Mod 213 sembilan millimeter (mm) Tara dan satu kelopak pistol berwarna perak tanpa kebenaran.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 11 butir peluru jenis 9 mm Luger PMC secara tidak sah mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan Mohd. Fareez di sebuah rumah di Kampung Kelubi, Jalan Kota Bharu, Pasir Puteh kira-kira pukul 9.45 malam pada 29 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser.
Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh namun Ahmad Adha dalam rayuannya meminta jaminan rendah atas alasan tertuduh perlu membiayai perubatan ibu dan ayah.
“Tertuduh yang masih bujang bekerja sebagai petani di kebun sayur dengan pendapatan RM800 hingga RM1,000 sebulan yang digunakan bagi membiayai kos perubatan ayah dan ibunya yang sakit,” kata Ahmad Adha.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE