PUTRAJAYA: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung aktiviti penjualan vaksin kepada orang ramai supaya siasatan dakwaan penyelewengan dapat disegerakan.
CITF dalam satu kenyataan memaklumkan, butiran lanjut akan diumumkan PDRM dalam masa terdekat selepas beberapa tangkapan telah dibuat.
Katanya, pihak CITF membuat dua laporan kepada PDRM pada 14 dan 22 Jun lalu hasil aduan orang ramai mengenai dakwaan aktiviti penjualan vaksin baru-baru ini.
“CITF menegaskan bahawa tiada vaksin atau slot janji temu boleh dijual sama sekali.
“Pemberian suntikan vaksin adalah dilaksanakan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya hari ini.
CITF berkata, Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memutuskan bahawa vaksin tidak boleh dijual kepada penerima atau dibekalkan kepada pihak lain tanpa kebenaran Kerajaan Persekutuan.
“Ingin juga kami tegaskan bahawa tiada kelulusan dikeluarkan JKJAV kepada mana-mana pihak untuk tujuan ini.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk terus melaporkan kepada PDRM sekiranya ada tawaran penjualan vaksin kepada mereka,” katanya.