PdPR bersambung: Situasi dua keluarga tetap sama - Utusan Malaysia

PdPR bersambung: Situasi dua keluarga tetap sama

ANAK-anak Mohd. Asrul Karman (dari kanan), Muhamad Aiman, Nor Diana Nabila dan Nurul Natasa menyiapkan kerja sekolah masing-masing secara manual menggunakan lembaran kerja yang disediakan pihak sekolah di Kampung Parit Patah, Pontian di Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pengumuman melanjutkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga 25 dan 26 Julai ini tidak membawa apa-apa perubahan buat dua buah keluarga di daerah ini yang tetap berdepan kekangan untuk menyediakan peranti kepada anak-anak mereka.

Ini kerana situasi anak-anak kepada Mohd. Asrul Karman, 41, dan Ahmad Jati Mohd. Yusof, 51, tidak seperti murid dan pelajar lain seusia mereka yang memiliki komputer riba, tablet atau setidak-tidaknya telefon pintar masing-masing.

Kedua-dua mereka yang bertugas sebagai pengawal keselamatan mengakui tidak mampu menyediakan telefon memandangkan gaji yang diterima hanya cukup-cukup makan bagi menampung perbelanjaan harian dan komitmen bulanan lain.

Mohd. Asrul berkata, keempat-empat anaknya iaitu Muhammad Hilal Khusairy, 13; Muhamad Aiman, 11; Nor Diana Nabila, 8; dan Nurul Natasa, 10, terus bergantung kepada lembaran kerja, modul-modul pembelajaran dan kertas-kertas ujian yang disediakan secara ‘manual’ oleh pihak sekolah.

“Kami berharap penyediaan bahan pembelajaran secara offline dapat diteruskan oleh guru-guru kepada keluarga seperti kami bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan sepanjang PdPR dilaksanakan, katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Patah, dekat sini semalam.

Pada 1 Jun lalu, akhbar ini melaporkan inisiatif Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Patah yang mengambil pendekatan tersendiri membantu semua murid terutama mereka yang tiada kemudahan peranti agar tidak ketinggalan mengikuti PdPR.

Sementara itu, bagi Ahmad Jati yang tinggal di Kampung Sawah di sini, dia juga tidak mampu menyediakan kemudahan telefon pintar sepenuhnya kepada empat anaknya yang masih belajar di sekolah rendah dan  menengah.

Katanya, anak keduanya, Intan Zahira, 14, bersekolah di sekolah menengah, selain Nur Qamaria Fatihah, 10; Mohd. Zharif Haiqal, 8; dan Nuriy Naziha, 7, berada di sekolah rendah.

“Sepertimana sesi PdPR sebelum ini, mereka berempat berkongsi telefon saya atau isteri, Rohaya Taib, 40,  secara bergilir-gilir untuk menerima pembelajaran yang dihantar guru masing-masing, tetapi jika saya keluar bekerja hanya satu telefon yang tinggal.

“Selain pembelajaran di saluran televisyen pendidikan, lembaran kerja serta nota yang disediakan oleh pihak sekolah telah membantu memudahkan anak-anak saya belajar di rumah sepanjang tempoh ini,” katanya.

Tambah bapa kepada tujuh cahaya mata itu, pendapatannya sebanyak RM1,600 sebulan tidak membolehkan dia menyediakan kemudahan telefon yang mencukupi kepada anak-anaknya ketika ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya