PdPR: Bawah pokok jambu baru ada ‘line’ - Utusan Malaysia

PdPR: Bawah pokok jambu baru ada ‘line’

EMPAT sepupu dari kiri, Ramli Ramizan, Muhamad Shah Rizuan Hamizan, Muhammad Shah Rizan Hamizan dan Nur Faizah Ramizan mengikuti PdPR di bawah pokok jambu air berikutan masalah internet yang lemah ketika belajar di dalam rumah mereka di Kempas Permatang, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rimbunan pohon di bawah pokok jambu air menjadi kelas kepada empat sepupu setiap kali mahu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan kawasan itu mempunyai ‘line’ internet yang lebih stabil.

Keempat-empat mereka, Ramlie Ramizan, 9, dan kakaknya, Nur Faizah, 17, akan berada di bawah pokok itu setiap hari bersama sepupu mereka, Muhamad Shah Rizuan Hamizan, 13, dan abangnya, Muhammad Shah Rizan, 15.

Menurut Nur Faizah yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, walaupun terpaksa belajar di luar rumah dan di bawah pokok, ia tetap dianggap proses yang menyeronokkan.

“Kalau belajar dalam rumah talian internet agak lemah dan saya terpaksa menghubungi rakan-rakan pula untuk mengetahui apa yang diajar oleh guru ketika PdPR.

“Mujur di luar rumah kami ada meja kayu yang ayah buat senang untuk saya dan adik-beradik serta sepupu kami mendapat liputan internet yang lebih baik bagi menghadapi PdPR ketika ini,” katanya ketika ditemui di Kempas Permatang di sini semalam.

Nur Faizah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohamad Rahmat berkata, masalah internet lemah bukan alasan untuk tidak belajar tetapi terus berikhtiar mendapat liputan walaupun belajar di bawah pokok.

“Saya melihat pelajar-pelajar SPM yang berdepan kekangan ketika PdPR sebelum ini tetapi masih mencatatkan keputusan cemerlang, jadi sebagai pendorong semangat kepada kami semua, apa sahaja cabaran akan kami tempuhi.

“Memanglah jika diikutkan berada di dalam rumah lebih selesa untuk belajar tetapi dalam keadaan terpaksa ini, kami mengikuti sahaja kemudahan apa yang disediakan, tambahan pula keluarga kami bukan orang senang,” katanya.

Bagi Muhammad Shah Rizan pula, peluang belajar bersama-sama di bawah pokok jambu air itu mengingatkan dia dengan suasana belajar dalam kelas di sekolah yang telah lama tidak diikutinya.

“Seronok juga dapat belajar di luar rumah dengan adik-beradik dan sepupu kerana sudah lama tak dapat belajar ramai-ramai bersama kawan-kawan dan cikgu semasa dalam kelas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN