KUALA LUMPUR: Kira-kira lima pegawai termasuk anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat tinjauan keselamatan di pekarangan Pintu 2 Istana Negara hari ini.
Tinjauan itu dibuat ketika kira-kira hampir 30 pengamal media berkumpul di sana bagi memerhati kehadiran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dewan Negara dan timbalannya yang hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun, wartawan ketika membuat liputan di sini dimaklumkan pihak polis bertugas, tinjauan yang dilakukan oleh unit PGA itu hanyalah rutin kawalan biasa dan tidak ada sebarang ancaman keselamatan dilaporkan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dilapor dititahkan hadir menghadap Seri Paduka hari ini.
Mereka masuk ke Istana Negara melalui Pintu Utama dan Pintu 2 bagi sejak pagi tadi bagi menghadap Seri Paduka pada pukul 11 pagi tadi.
Istana Negara pada hari ini sekali lagi menjadi tumpuan selepas beberapa pemimpin parti politik dalam Dewan Rakyat dipanggil awal bulan lalu bagi menghadap Seri Paduka.
Susulan selesai Sesi Perbincangan Khas antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, Seri Paduka menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Titah Seri Paduka, Parlimen yang berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE