PETALING JAYA: “Pas beristiqamah bersama Perdana Menteri”.
Demikian pendirian dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Abdul Hadi menjelaskan, pihaknya terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilanda dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.
“Setelah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengikut lunas demokrasi, Pas yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal kerana meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan.
“Secara khusus, Pas memahami keadaan darurat pandemik Covid-19 dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara,” katanya.
Istana Negara kembali menjadi tumpuan hari ini apabila difahamkan beberapa pemimpin politik negara sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebelum ini, tular berita mengenai jemputan daripada Istana Negara kepada pemimpin-pemimpin politik untuk menghadap Seri Paduka.
Siri pertemuan itu dilapor berlangsung bermula hari ini sehingga 11 Jun.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, namun masih lagi terdapat di dalam kalangan pemimpin politik yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada ‘di luar alam bumi’.
Jelasnya, mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana getir Covid-19 pada hari ini.
“Rasulullah membandingkan kumpulan ini laksana mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera, di mana mereka ingin menebuk kapal dari bawah kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera. Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat,” katanya.