LUMUT: Kerajaan negeri dirayu mewujudkan tiga lagi pusat pemberian vaksin (PPV) di lokasi berkepadatan penduduk tinggi di Parlimen Beruas, bukan hanya mewujudkan satu sahaja PPV yang terletak di pekan Beruas.
Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pihaknya merayu agar tambahan tiga lagi PPV dalam Parlimen Beruas diwujudkan di kawasan Sitiawan, Pantai Remis dan Ayer Tawar.
“Saya merujuk kepada pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin bahawa PPV di kawasan Parlimen Beruas hanya akan diadakan di Dewan Inderawati, pekan Beruas.
“Parlimen Beruas merupakan satu kawasan yang besar dan pekan Beruas adalah sudut yang terpencil dengan kepadatan penduduk yang kurang.
“Kepadatan penduduk di setiap kawasan Sitiawan, Ayer Tawar dan Pantai Remis adalah berlipat kali ganda berbanding kepadatan penduduk di kawasan Beruas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Koo Ham, sememangnya baik menjaga penduduk di kawasan terpencil tetapi dalam menangani pandemik Covid-19, adalah penting vaksin diberikan kepada seberapa ramai orang yang boleh untuk mencapai imuniti kelompok.
Jelasnya, dengan hanya satu PPV yang ditempatkan jauh daripada capaian sebahagian besar penduduk, ia bukan satu perancangan bijak.
Malah jelasnya, ia menyusahkan rakyat kerana mereka perlu melalui perjalanan yang jauh untuk mendapat suntikan vaksin yang perlu dibuat sebanyak dua kali.
“Apa lagi bagi mereka yang tua dan uzur? Ia juga membebankan mereka yang miskin kerana kos pengangkutan yang tinggi,” katanya.
Menurutnya, pemilihan lokasi sesuai untuk mewujudkan PPV di Sitiawan, Ayer Tawar dan Pantai Remis tidak menjadi masalah.
“Ia kerana Persatuan Kutian Manjung dan Persatuan Pendidikan Moral Chin Tai Kok masing-masing menawarkan penggunaan dewan besar mereka di Ayer Tawar dan Pantai Remis secara percuma manakala tiada masalah untuk mencari satu tempat yang sesuai di Sitiawan.
“Saya berharap pihak kerajaan dapat merancang dan bertindak dengan baik kerana negara kita bukan sahaja dilanda krisis kesihatan tetapi juga krisis ekonomi yang akan berterusan jika pandemik Covid-19 ini tidak dapat ditangani dengan segera,” jelasnya.