BALIK PULAU: Pantai Kucing di Teluk Bahang di sini yang dihuni lebih 200 ekor kucing memerlukan sumbangan daripada orang ramai bagi menampung keperluan haiwan berkenaan.
Ini kerana, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pencinta haiwan berkenaan yang kebiasaannya akan memberi dan menyumbang makanan kucing untuk haiwan di situ tidak dapat mengunjungi kawasan tersebut.
Pengasas pusat perlindungan kucing jalanan di Pantai Kucing, Teviot Fairservis berkata, dia bimbang apabila dana untuk pihaknya membeli bekalan makanan, ubat-ubatan serta multivitamin bagi kucing di situ menyusut akibat PKP.
“Sebelum ini orang ramai akan datang bermain dengan kucing di sini sambil membawa bekalan makanan serta keperluan lain bagi kucing yang menjadi penghuni pantai ini.
“Namun selepas PKP, pantai ini sepi kerana ramai penyumbang kami berada di luar daerah ini, jadi mereka sukar untuk datang ke pantai ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, jumlah perbelanjaan untuk seekor kucing di pusat itu adalah hampir RM100 sebulan dan kira-kira RM20,000 diperlukan setiap bulan untuk pembelian makanan dan barangan keperluan kucing di pantai itu.
“Kucing-kucing yang dibuang di sini juga ada yang sakit serta memerlukan rawatan di klinik haiwan serta perlu diberi vitamin.
“Kami berusaha menyelamatkan mereka, namun kami bimbang kerana dana yang ada semakin menyusut untuk menguruskan kucing-kucing ini,” katanya.
Fairservis yang berasal dari New York, Amerika Syarikat itu menambah, dia amat berharap sekatan pergerakan penuh akan tamat dalam tempoh terdekat kerana kucing yang menghuni pantai berkenaan amat memerlukan bantuan daripada orang ramai.
Katanya, selain bantuan kewangan pantai itu juga memerlukan bantuan sukarelawan untuk menguruskan kucing-kucing di situ yang semakin banyak jumlahnya.
“Kami dapati setiap hari jumlah kucing yang dibuang pemilik juga meningkat sepanjang PKP, jadi ini menyukarkan kami untuk menguruskan kucing akibat kekangan dana,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menyumbang bantuan bagi kucing di pantai berkenaan, anda boleh berhubung dengan Fairservis dan sukarelawan Pantai Kucing dalam laman Facebook Cat Beach. – UTUSAN