MELAKA: Dua sahabat didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan surat penerimaan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka pada Mac lalu.
Kedua-kedua tertuduh, Mohamed Fariq Abdul Rahman, 46, dan Abdullah Samsu@Hanafi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama memalsukan dokumen iaitu satu surat bertajuk pengesahan mengenai status surat penerimaan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka.
Dokumen palsu itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bertarikh 24 Mac 2021 dan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dengan niat untuk digunakan dengan tujuan hendak menipu.
Tindakan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka pada pukul kira-kira 12 tengah hari, 31 Mac 2021.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tertuduh.
Tertuduh yang masing-masing diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd. Salleh dan Mohd. Norazihan Adnan merayu agar jumlah jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan anak guam mereka hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19, selain mempunyai tanggungan keluarga.
Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang selain menetapkan tarikh 25 Ogos depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.