PETALING JAYA: Beberapa pakar dari agensi kerajaan antara yang dijadual memberi sembah taklimat hal-hal berkaitan isu kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara dalam perbincangan Raja-raja Melayu di Istana Negara, pukul 2.30 petang esok.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima menghadap 18 pemimpin politik, sama ada secara bersemuka atau melalui maya.
“Selain pemimpin parti politik, Seri Paduka juga berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 hari ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Pertemuan itu, kata beliau, berlangsung sejak 9 Jun lalu hingga petang ini.
“Perlu dijelaskan bahawa sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah diatas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka dan berkaitan usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh darurat,” katanya. – UTUSAN ONLINE