PETALING JAYA: Gara-gara berang kerana jirannya tidak membayar hutang RM30, seorang penganggur bertindak merosakkan pintu jeriji rumah lelaki itu mengakibatkan kerugian RM139.
Bagaimanapun, tindakan T. M. Saifullah Ibrahim, 33, menemui padah apabila Mahkamah Majistret di sini hari ini mendendanya sebanyak RM1,000 selepas mengaku bersalah melakukan khianat terhadap jiran itu.
Majistret M. Barath turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima hari jika gagal membayarnya. Denda itu dijelaskan.
Mengikut pertuduhan, T. M. Saifullah didapati melakukan khianat dengan merosakkan pintu jeriji rumah milik S. Kathiravan, 46, dengan nilai kerugian sebanyak RM139.
Kesalahan dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Jalan SS 1/39, Seksyen 22 di sini antara 7 dan 7.30 malam pada 21 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar mahkamah dapat mengurangkan hukuman kerana perlu menyara ibu bapa.
“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya juga sudah setahun tidak bekerja,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mengikut fakta kes, pada 20 Jun lalu semasa jirannya yang juga pengadu kes berada di rumah, berlaku perselisihan faham antara mereka kerana pengadu berhutang dengan tertuduh sebanyak RM30.
Keesokkan harinya iaitu pada hari kejadian, isteri pengadu yang pulang ke rumah mendapati pintu jeriji rumahnya telah rosak dan mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh.
Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh mengaku merosakkan pintu jeriji tersebut.