Notis pemakluman DUN Johor diserah awal Julai - Utusan Malaysia

Notis pemakluman DUN Johor diserah awal Julai

SUHAIZAN KAYAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Notis pemakluman tentang pembukaan semula Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan diserahkan kepada kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seawal minggu pertama Julai ini.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat berkata, ini kerana pihaknya mempunyai tempoh 21 hari untuk menyerahkannya kesemua notis berkenaan sebelum DUN dijangka bersidang pada 12 Ogos ini.

Katanya, pihaknya menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan menetapkan tarikh sidang DUN berkenaan.

“Notis akan dihantar kepada semua wakil rakyat di negeri ini termasuk  kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir.

“Kita mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat semua persiapan yang diperlukan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 “Antara prosedur yang mungkin akan dilaksana termasuklah penjarakan kerusi kesemua ADUN serta pemasangan dinding penghadang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Ibrahim yang berkenan agar DUN Johor dibuka pada 12 Ogos ini bagi membolehkan kesemua wakil rakyat yang dilantik bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor.

 Tambah Suhaizan, hari pertama pembukaan semula Persidangan DUN yang akan dirasmikan Baginda berkemungkinan akan turut disiarkan secara langsung di media sosial.

HASNI MOHAMMAD

 Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menerusi ciapannya di laman Twitternya berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas titah Sultan Johor berhubung perkara itu.

 “Junjung kasih Tuanku atas perkenan tarikh persidangan Dewan Negeri Johor. Kepada Allah berserah,” tulisnya.

 Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) Johor turut menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang tenaga dan buah fikiran demi kepentingan rakyat negeri ini.

 “Terutamanya mengenai pelan tindakan bagi membantu mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19 serta penyusunan pelan pemulihan ekonomi negeri ini,” jelas mereka dalam satu kenyataan bersama.

 Kenyataan tersebut ditandatangani secara bersama oleh Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya