Nilai semula istilah 'staf bukan akademik' - Utusan Malaysia

Nilai semula istilah ‘staf bukan akademik’

RAJA SHAH ERMAN RAJA ARIFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti) menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menilai semula penggunaan istilah ‘staf bukan akademik’ di universiti awam di negara ini.

Masti mencadangkan istilah Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) ditukar kepada nama baharu iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pentadbir Profesional).

Presidennya, Raja Shah Erman Raja Arifin berkata, dalam konteks pentadbir universiti yang dikategorikan sebagai ‘staf bukan akademik’ amatlah terkesan dengan istilah yang digunakan tersebut.

Katanya, ia seolah-olah menggambarkan para pegawai di universiti tidak mempunyai ‘kelulusan akademik’ dan tidak layak memegang jawatan strategik dan melaksanakan tugas yang sama pentingnya dalam memacu kecemerlangan universiti.

“Semua pentadbir universiti Kumpulan Pengurusan dan Profesional memiliki sekurang-kurangnya sarjana muda semasa pelantikan pertama seperti disyaratkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Terdapat juga beberapa jawatan ikhtisas seperti Pegawai Perubatan, Jurutera, Pegawai Kewangan dan lain-lain lagi yang memerlukan sijil profesional/khas dalam pelantikan. Sehingga 2020, seramai 120 pentadbir universiti awam memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) hasil budaya dan persekitaran intelektual yang positif serta peningkatan profesionalisme di universiti masing-masing.

“Dalam konteks peranan penting pentadbir universiti, dengan jawatan strategik utama seperti Pendaftar, Bendahari, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang serta beberapa jawatan strategik yang lain, kesemua ini adalah terdiri daripada mereka yang terlibat membuat dasar seperti Naib Canselor dan Timbalan-timbalan Naib Canselor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Universiti terdiri daripada tiga kumpulan utama staf yang memainkan peranan masing-masing iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Akademik), Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) dan Kumpulan Sokongan dan Pelaksana.

Masti terdiri daripada 9,000 ahli di semua universiti awam dengan lebih 40 skim perjawatan adalah di bawah Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik).

Raja Shah Erman berkata, kesetiaan dan ketelusan pentadbir universiti lebih jelas khususnya dalam menyokong ekosistem 7P (Pengajaran, Penyelidikan, Penulisan, Perundingan dan Pengkomersialan, Perkhidmatan, Penyeliaan serta Perkhidmatan Profesional) kerana mereka berada dalam jawatan pentadbiran hakiki berbanding staf akademik yang dilantik secara lantikan bertempoh.

“Laluan kerjaya pentadbir juga amat jelas secara kenaikan hakiki sudah sampai masanya dipertimbangkan tidak hanya kepada jawatan strategik sedia ada malah dibuka kepada jawatan Timbalan Naib Canselor (TNC) yang tidak berteraskan kepada sistem akademik atau fungsi khusus seperti TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan TNC Pembangunan dan Infrastruktur.

“Jawatan-jawatan Penolong Naib Canselor yang banyak diwujudkan di universiti-universiti awam juga sewajarnya diberi peluang kepada pentadbir dalam bidang fokus tertentu,” jelasnya.

Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan bagi menyokong usaha pengurusan bakat yang menilai pelbagai kompetensi kepimpinan dalam menyediakan kelompok pemimpin universiti yang kompeten bagi menerajui portfolio berimpak sekali gus melonjakkan kecemerlangan institusi insan itu secara berterusan.

“Jika dilihat kepada perkembangan kerjaya, tidak wajarlah istilah ‘staf bukan akademik’ digunakan kepada golongan pentadbir universiti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya