MELAKA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia perlu bekerjasama erat dengan pemimpin masyarakat dalam memastikan setiap rakyat negeri ini menyertai program vaksinasi Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, kerjasama itu penting dalam membantu kerajaan mencapai sasaran vaksinasi.
Jelas beliau, NGO dan pertubuhan belia juga telah digerakkan bagi membantu golongan yang memerlukan sokongan pendaftaran serta kenderaan untuk menghadiri temu janji suntikan vaksin.
“Saya mendapat maklum balas ramai yang gagal hadir temu janji seperti ditetapkan Jabatan Kesihatan. Punca utama disebabkan tidak mempunyai kenderaan serta terlepas notis makluman temu janji melalui MySejahtera.
“Justeru, golongan yang terkesan terutama warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal dapat memanfaatkan kemudahan sekali gus membantu meningkatkan peratusan kadar vaksinasi di Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Bakul Makanan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rafiq, kerajaan negeri menyediakan 25,000 bakul makanan Permai dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
Katanya, bantuan tersebut akan diagihkan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang layak.
Dalam pada itu, mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) berjumlah RM40 bilion, Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka berkata, bantuan itu mencerminkan kesungguhan dan dukungan kerajaan dalam membela nasib rakyat yang terjejas.
“Walaupun kerajaan menghadapi kekangan fiskal susulan pandemik Covid-19, namun tetap memberi fokus kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat,” katanya.