Negeri Sembilan cadang Hospital Medan beroperasi di Tampin - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan cadang Hospital Medan beroperasi di Tampin

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah Hospital Medan dicadang untuk didirikan di Negeri Sembilan bagi menambah kemudahan merawat pesakit Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, hospital tersebut akan beroperasi di Hospital Tampin dan satu lawatan akan diadakan dalam masa terdekat untuk melihat pelaksanaannya termasuk jumlah katil yang boleh disediakan.

Bagaimanapun jelas beliau, kewujudan Hospital Medan itu akan bergantung kepada kes positif harian di negeri ini dan jumlah kekosongan katil untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital-hospital yang sedia ada di negeri ini.

“Jika kes terus menurun dan bilangan katil merawat pesakit di hospital-hospital ada kekosongan kita tidak perlukan Hospital Medan.

“Bagaimanapun, baik untuk kita melihat dahulu, sebelum apa-apa berlaku, jika ia diperlukan, kita memang sudah bersedia pada bila-bila masa,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco semalam.

Sementara itu menurut Menteri Besar, bagi mempercepatkan proses vaksinasi dan imuniti kelompok di Negeri Sembilan, kerajaan negeri mengemukakan cadangan untuk membuka sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

“Jika PPV mega itu beroperasi kelak, ia dianggarkan mempunyai kapasiti untuk menyuntik sebanyak 3,000 dos sehari,” katanya.

Tambah Aminuddin, kerajaan negeri bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Persekutuan juga berusaha mendapatkan lebih banyak vaksin bagi membolehkan ramai rakyat negeri ini menerima vaksin dengan segera.

“Kerajaan negeri pada 11 Jun lalu mengemukakan surat kepada CITF Persekutuan untuk menambah peruntukan vaksin sehari. CITF Negeri Sembilan telah memohon supaya ditingkatkan peruntukan bekalan vaksin kepada 10,000 dos suntikan sehari yang melibatkan semua PPV awam dan klinik kesihatan kerajaan.

“Tambahan kepada itu, kapasiti tujuh hospital swasta yang sedang beroperasi sebagai PPV swasta juga boleh mengendalikan sehingga 2,100 dos vaksin sehari selain 28 buah klinik swasta yang dijangkakan mampu melaksanakan vaksinasi sebanyak 3,360 orang sehari,” katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, dengan segala usaha kerajaan negeri melalui tindakan yang diambil, dijangkakan ia dapat menaikkan vaksinasi harian daripada 13,184 orang kepada lebih kurang 19,000 sehari.

“Ini bermakna dalam tempoh sebulan, jika dilaksanakan vaksinasi selama 25 hari, maka vaksinasi boleh dilakukan kepada 480,900 orang sebulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya