SEREMBAN: Ekoran peningkatan bilangan kes jangkitan Covid-19 di Negeri Sembilan, kerajaan negeri bersetuju membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) iaitu di Dewan Orang Ramai Mantin, dekat sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembukaan dewan berkenaan yang dapat menambah kapasiti yang dimiliki Jabatan Kesihatan negeri.
“Dewan tersebut mula beroperasi hari ini dan dijangka meningkatkan lagi kebolehan Jabatan Kesihatan negeri dalam menangani kes-kes baharu,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, 100 buah katil tambahan beserta tilam dan bantal juga diletakkan di PKRC Kuala Pilah.
“Penambahan ini bertujuan menambah kapasiti PKRC yang menerima pesakit dari seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan rakyat di negeri ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.
“Semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan sistem kesihatan dapat terus berfungsi dengan baik dan sempurna, insya-Allah,” katanya.
Negeri Sembilan semalam mencatatkan sebanyak 843 kes baharu jangkitan Covid-19 daripada keseluruhan 7,452 kes positif baharu yang direkodkan. – UTUSAN ONLINE