TANJUNG MALIM: Pengasas dan Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ir. Muhammad Guntor Mansor Tobeng dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin. Md Taff berkata, perlantikan tersebut berkuatkuasa 1 Jun lalu sehingga 30 Mei 2023.
“Pemilihan beliau sebagai Profesor Adjung di FSM UPSI adalah berdasarkan pengalamannya yang sangat luas di dalam industri solar serta inovasi-inovasi yang pernah beliau lakukan berkaitan bidang tenaga yang boleh diperbaharui ini di dalam dan luar negara.
“Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang bersama beliau termasuk beberapa siri syarahan, seminar dan bengkel terutamanya di dalam bidang ilmu dan industri tenaga boleh diperbaharui bersama tenaga akademik dan mahasiswa FSM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Md. Amin, melalui pelantikan Profesor Adjung daripada industri ini, FSM yakin ia akan membuka mata dan minda mahasiswa tentang peluang mereka untuk menerokai alam pekerjaan di bidang industri selain meletakkan kebergantungan terhadap sektor kerajaan.
“Perancangan lain yang telah difikirkan bersama dan mendapat persetujuan pihak Datuk Muhammad Guntor adalah penempatan latihan industri mahasiswa dan program sangkutan tenaga akademik FSM di Gading Kencana Sdn. Bhd. itu sendiri.
“Tenaga-tenaga pakar dari FSM juga akan turut bersama -sama berkongsi kepakaran mereka dengan Gading Kencana Sdn Bhd agar kerjasama ini dilihat tidak hanya berat sebelah dan memberi keuntungan atau kelebihan kepada pihak universiti sahaja,” katanya.
Muhammad Guntor adalah tokoh terkemuka dalam perniagaan industri tenaga di Malaysia yang telah mendapat banyak anugerah dari dalam dan luar negara.
Menurut Md. Amin, kejayaan Muhammad Guntor yang menguruskan syarikat perkhidmatan dan pembekalan tenaga boleh diperbaharu, khususnya solar mampu merapatkan jurang antara universiti dengan industri solar dengan kata lain mengindustrikan universiti.
“Kebersamaan industri dengan universiti ini diharapkan dapat membantu universiti dalam memberi idea terutamanya pembinaan program akademik yang menyediakan pelajar yang diperlukan industri sebelum memasuki dunia pekerjaan kelak.
“Sokongan industri terhadap universiti yang akan melahirkan graduan yang boleh dijadikan tenaga kerja mereka kelak haruslah dipandang serius dan tidak hanya melalui penglibatan menerusi temuduga terbuka di dalam kampus sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE