MTUC bantah pengeluaran I-Sinar 2.0 - Utusan Malaysia

MTUC bantah pengeluaran I-Sinar 2.0

Pengeluaran KWSP sebelum ini dijangka memberi kesan kepada pelaburan dan pendapatan seterusnya dividen dana simpanan persaraan terbesar negara itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini membantah pengeluaran i-sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan menggesa kerajaan mencari alternatif lain bagi membantu golongan terkesan akibat penularan Covid-19.

Setiasusaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut bakal memberi implikasi besar kepada pesara yang berkemungkinan tidak mempunyai wang simpanan mencukupi pada masa akan datang

Katanya, kerajaan sebaliknya disaran memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan pertengahan (M20) sebanyak RM 1200 sebulan dengan mencari sumber lain bagi tujuan tersebut.

” MTUC tidak mahu kejadian pesara berada di bawah jambatan atau tiada tempat tinggal berulang kembali. Kerajaan seharusnya mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

“Selain itu , tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah untuk mencari dana bagi tujuan membantu pekerja. Jangan usik duit simpanan pekerja bagi menunjukan bahawa bantuan telah di berikan. Kerajaan mengambil kredit ke atas simpanan pekerja sedangkan itu adalah simpanan hari tua pekerja,” katanya di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini dikatakan akan mengumumkan pemberian moratorium, i-Sinar KWSP seperti yang didesak banyak pihak dalam menghadapi saat sukar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau telah berbincang tentang perkara itu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.

Tambahnya, MTUC juga membantah cadangan tersebut kerana tidak di bincangkan dengan pihak yang berkepentingan seperti MTUC dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam isu yang melibatkan simpanan pekerja.

Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata, MTUC turut mendesak agar moratorium automatik selama enam bulan di berikan kepada seluruh rakyat.

“Moratorium 1.0 telah dilaksanakan dan berjaya membantu pekerja. Keuntungan bank masih baik dan ini adalah indikasi yang membolehkan bank wajar memberikan moratorium automatik 2.0.

“Kerajaan perlu memberi tekanan kepada bank-bank untuk bersama-sama berkongsi keuntungan dengan perlaksanaan moratorium automatik ini,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut mendesak agar melantik wakil kesatuan sebagai Ahli Lembaga Pengarah KWSP.

“Penyertaan wakil MTUC dalam Lembaga Pengarah amat penting untuk menjaga kepentingan simpanan pekerja.

” Sehingga kini MTUC telah menghantar tiga surat kepada Kementerian Kewangan bagi maksud tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya