YAMAHA secara rasmi mengesahkan bahawa Maverick Vinales akan meninggalkan pasukan itu akhir musim MotoGP 2021.
Sebelum ini timbul desas-desus mengejutkan apabila mendakwa Vinales bakal meninggalkan jentera Yamaha yang sertainya pada 2017 dan akan menyertai pasukan Aprilia.
Dalam kenyataan rasmi Yamaha berkata, keputusan dibuat atas permintaan pelumba Sepanyol itu yang tidak akan menyambung kontraknya bersama pasukan itu.
“Kerjasama bersama Yamaha sangat penting bagi saya selama lima tahun terakhir dan keputusan ini amat sukar buat saya.
“Sepanjang musim bersama, kami meraih pencapaian hebat dan turut melalui masa-masa sukar. Namun, perasaan yang mendasari adalah saling menghormati dan menghargai. Saya komited sepenuhnya dan akan berusaha untuk mencapai hasil terbaik sepanjang musim ini,” kata Vinales dalam pernyataan rasmi Yamaha.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis melahirkan rasa sedih dan mengucapkan selamat kepada Vinales.
“Yamaha akan berusaha semaksimum mungkin, seperti yang selalu kami lakukan untuk memberikan sokongan penuh kepada Vinales dan menyelesaikan musim ini dengan cara yang terbaik,” kata Jarvis.