COPENHAGEN: Penyerang Sepanyol, Gerard Moreno tampil menyokong dan membela rakan sejawatannya, Alvaro Morata yang menerima kecaman termasuk ancaman bunuh susulan prestasi hambar dalam saingan Euro 2020.
Kelmarin, Morata berkata, dia menjadi mangsa kecaman di laman sosial selepas menampilkan aksi tidak memberangsangkan sewaktu terikat 1-1 dengan Poland dalam saingan peringkat kumpulan.
Penyerang Juventus itu turut mendedahkan bahawa isteri dan anak-anaknya diganggu ketika kempen tersebut berlangsung disebabkan prestasinya bersama skuad La Roja.
“Dia menerima kecaman semasa kempen sedang berlangsung. Kami di sini akan sentiasa memberikan sokongan moral antara satu sama lain.
“Kami perlu melakukannya dan Sepanyol mempunyai sokongan tersendiri. Alvaro merupakan pemain terbaik kami, kami boleh lihat dia bekerja keras dalam sesi latihan.
“Dia sungguh menakjubkan serta sanggup melakukan apa sahaja demi skuad kebangsaan, termasuk jika berada di atas padang.
“Kami dihakimi menerusi jaringan dan bantuan, namun bola sepak lebih daripada itu. Ada kalanya nasib tidak menyebelahi kami,” kata penyerang Villarreal, Moreno.
Sepanyol akan berdepan naib juara dunia, Croatia dalam saingan peringkat 16 terakhir di Stadium Parken, Copenhagen esok (pukul 12 tengah malam ini waktu Malaysia).- AGENSI