PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bantuan moratorium automatik bersasar PKP 3.0 sebagai ‘indah khabar dari rupa’.
Berkongsi dua kisah pemohonan bantuan itu dalam laman sosial Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan berkata, ini kerana perkara baik yang diperkatakan tidaklah seperti digambarkan.
Kisah pertama, kata beliau, temuduga untuk mendapatkan morotorim itu ibarat ‘mahu memohon jawatan pengarah’ dengan pelbagai soalan dikemukakan seperti baki gaji, perbelanjaan dan akhirnya bank memaklumkan ia cukup untuk membayar ansuran kereta.
“Memanglah cukup (bayar ansuran kereta) tetapi mana cukup tampung seisi keluarga pada waktu pendapatan isi rumah sedang terjejas.
“Dan bank terus kategorikan sebagai golongan M40 (tidak layak dapat moratorium automatik),” katanya.
Kedua, kata Ahmad Zahid, bank mengenakan beberapa syarat untuk peniaga kecil yang mahu mendapatkan moratorium seperti perlu menunjukkan bukti hilang pendapatan semasa membuat permohonan.
“Masalahnya, peniaga kecil tiada bukti selain penyata bank dan rekod rekod dalaman perniagaan. Ramai peniaga kecil tidak ada slip gaji, penyata KWSP (Kumpuan Wang Simpanan Pekerja) atau surat dibuang kerja. Ada pula peminjam yang dapat moratorium wajib bayar faedah setiap bulan.
“Kesimpulan daripada dua kisah ini pernah dengar peribahasa indah khabar dari rupa. Maksudnya perkara baik yang diperkatakan tidaklah seperti yang digambarkan.
“Atau dalam fahaman lebih mudah ‘cakap tidak serupa bikin’. ‘Manis di bibir memutar kata’. Nak bantu rakyat bantulah sepenuh hati dan seikhlas mungkin. Janganlah terlalu berkira.,” katanya. – UTUSAN ONLINE