MELAKA: Kegiatan tiga pelacur warga Thailand melayan sekurang-kurangnya dua pelanggan setiap hari dengan bayaran RM250 untuk satu sesi terbongkar selepas polis menyerbu sebuah hotel butik di Melaka Raya di sini, kelmarin.
Dalam serbuan Op Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada pukul 3.45 petang itu, kesemua wanita yang ditahan berusia antara 30 tahun hingga 34 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil risikan, sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi dan mengesan tiga wanita warga asing dipercayai pelacur sedang menunggu pelanggan.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, ketiga-tiga wanita berkenaan berada di dalam tiga bilik berasingan.
“Hasil soal siasat kesemua mereka dipercayai menjalankan perkhidmatan seks dan mengiklankannya melalui aplikasi We Chat.
“Bayaran antara RM240 hingga RM250 bagi setiap sesi diambil apabila berjumpa pelanggan di hotel,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, semua suspek mengakui mengaut keuntungan dengan melayan minimum dua pelanggan setiap hari.
“Maklumat awal mendapati, kegiatan pelacuran ini dijalankan kira-kira sebulan. Kita turut menahan seorang lelaki penjaga hotel berusia 23 tahun bagi membantu siasatan.
“Untuk rekod, sejak awal tahun hingga bulan lalu, pasukan Ibu oejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menjalankan 15 serbuan membabitkan aktiviti pelacuran,” ujarnya.
Tambahnya, penjaga premis dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 mengikut Peraturan 16, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.
Mereka kini direman empat hari sehingga 8 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan Peraturan di bawah PKP. – UTUSAN ONLINE